1.0 PENDAHULUAN
Pada pandangan saya, golongan agama sememangnya memainkan peranan yang penting dalam kesedaran kebangsaan dan politik orang Melayu. Namun, sebelum kita menilai lebih jauh lagi mengenai peranan golongan agama ini lebih elok kiranya kita meninjau terlebih dahulu mengenai pengertian ‘kesedaran kebangsaan dan politik’. Kesedaran kebangsaan dan politik ini membawa maksud perasaan cinta dan taat setia kepada tanah air serta ingin membebaskan negara daripada penjajah. Berdasarkan pengertian ini jelas menunjukkan bahawa kesedaran kebangsaan dan politik dalam bahasa yang ringkas dan padat ialah nasionalisme yang berkaitan dengan ‘negara’ dan ‘bangsa’.[1] Dalam konteks di Tanah Melayu, kesedaran kebangsaan dan politik ini merujuk kepada sesebuah masyarakat yang sedar bahawa mereka dibelenggu hidup di bawah penjajahan seperti British dan mereka perlu bertindak untuk memerintah tanah air mereka tanpa diganggu gugat oleh kuasa lain. Menjelang abad ke-20, kebangkitan nasionalisme dalam kalangan orang Melayu semakin meluas dan dikatakan berada ditahap yang matang. W. R. Roff menyatakan bahawa proses perkembangan nasionalisme Melayu dibahagikan kepada tiga tahap yang dipimpin oleh tiga golongan yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Pada tahun 1906 sehingga 1926, golongan agama yang berpendidikan Arab telah memainkan peranan dalam perkembangan nasionalisme orang Melayu.[2] Kemudian pada tahun 1926 hingga 1937, golongan berpendidikan Inggeris telah memainkan peranan diikuti oleh golongan yang berpendidikan Melayu pada tahun 1937 hingga 1941.[3] Oleh itu, berdasarkan persoalan yang timbul saya akan memfokuskan peranan golongan agama sejak kemunculan Kaum Muda yang bermula pada tahun 1906 sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
2.0 PERANAN GOLONGAN AGAMA DALAM KESEDARAN KEBANGSAAN DAN POLITIK ORANG MELAYU SEHINGGA 1957
2.1 Perjuangan Kaum Muda
Gelombang kesedaran kebangsaan dan politik yang pertama dikatakan telah diterajui oleh golongan agama pada tahun 1906 seperti yang telah dinyatakan oleh W. R. Roff. Pada tahun 1906, jelas menunjukkan kemunculan golongan Al-Imam atau lebih dikenali sebagai Kaum Muda. Golongan ini digelar golongan Al-Imam kerana mereka telah menjadi pengasas kepada kemunculan majalah Al-Imam. Majalah ini telah diterbitkan pada 27 Julai 1906 atas nama pemiliknya Syeikh Muhammad bin Salim Al-Kalali.[4] Majalah Al-Imam ini membawa maksud pemimpin yang bertepatan dengan tujuan mereka untuk memimpin orang Melayu supaya sedar bahawa negara mereka telah dikuasai oleh bangsa asing dan mereka hanya menjadi penurut perintah walaupun berpijak pada bumi sendiri. Matlamat penerbitan majalah Al-Imam sungguh jelas iaitu “...mengingat mana yang lalai dan menjagakan mereka yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat...”[5] Kaum Muda ini mempunyai pendidikan Timur Tengah mahupun berpendidikan Melayu seperti Syeikh Muhammad Salim Al-Kalali, Syeikh Mohd. Tahir bin Jalaluddin Al-Azhari, dan Sayid Syeikh bin Ahmad Al-Hadi. Golongan ini kebanyakkannya bukan berdarah Melayu tempatan kecuali Haji Abbas bin Mohd. Taha.[6] Mereka merupakan Jawi Peranakan namun mereka telah sebati dengan cara hidup orang Melayu di Tanah Melayu. Oleh itu, jelas di sini bahawa mereka telah dimelayukan oleh budaya yang lebih tepat lagi dikenali sebagai bangsa budaya. Kaum Muda ini menyatakan bahawa kemunduran dan kehinaan bangsa Melayu adalah disebabkan oleh kelalaian orang Melayu dengan kehidupan duniawi.[7] Oleh itu, Kaum Muda berasa bertanggungjawab untuk menyedarkan orang Melayu walaupun kebanyakkan golongan ini bukanlah berdarah Melayu. Mereka sedar bahawa sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyedarkan orang Melayu. Keterangan ini dapat dibuktikan melalui penyataan yang telah dikeluarkan oleh Syeikh Mohd. Salim Al-Kalali iaitu:
“Sudah minum kami akan susunya dan telah tumbuh darinya daging darah kami dan telah terbit daripadanya nikmat perhatian kesenangan kami. Tidakkah jadi terhutang kami kepada negerinya dan anak-anaknya”.[8]
Kaum Muda merasakan kelemahan dari aspek keagamaan merupakan masalah utama yang menyebabkan terbantutnya perkembangan kemajuan pendidikan, ekonomi, sosial dan politik orang Melayu. Kebanyakkan orang Melayu tidak mematuhi ajaran Islam yang sebenar dan melakukan perbuatan yang ditegah dalam Islam. Oleh itu, Kaum Muda melalui majalahnya cuba menyedarkan Kaum Tua iaitu golongan yang masih mencampuradukkan antara tradisional dengan agama.[9] Kaum Muda menegaskan bahawa tindakan Kaum Tua telah membawa satu pegangan yang salah sekali gus telah menyebabkan orang Melayu yang keseluruhannya yang merupakan penganut setia Islam sering menyalahtafsirkan ajaran agama pada pengertian yang sebenar. Syed Syeikh Al-Hadi menyatakan bahawa amalan khurafat umat Islam dan sikap statis pemimpin agama yang menjadi punca kejatuhan masyarakat Melayu.[10] Tindakan Kaum Muda ini jelas ingin memberi kesedaran kepada orang Melayu bahawa Islam merangkumi semua aspek bukan agama semata-mata malah ekonomi, politik, dan juga sosial. Kaum Muda menyeru orang Melayu supaya menoleh ke arah Jepun untuk meniliti cara mereka memajukan bangsa dan negaranya.[11] Hal ini kerana orang Jepun menerima pembaharuan dari segi politik, ekonomi dan pertahanan namun tidak sedikit pun membelakangkan agamanya. Situasi ini berbeza sekali dengan pandangan orang Melayu yang menolak sepenuhnya tamadun Barat dan menganggap orang Barat sebagai musuh Islam. Apabila agama diasingkan dengan politik, ekonomi dan juga sosial maka pemikiran dan kemajuan orang Melayu tersekat dalam dunia pembangunan.
Golongan Agama juga telah memainkan peranan yang penting untuk menyedarkan orang Melayu melalui perubahan dari segi sosial. Perubahan sosial yang pertama telah diperjuangkan oleh Kaum Muda ialah memperjuangkan hak wanita untuk memperolehi pendidikan. Kaum Muda menyatakan bahawa perubahan dalam pendidikan perlu dilaksanakan dengan memberi pendidikan sekurang-kurangnya sampai darjah tiga untuk wanita dengan memberi pelajaran Al-Quran dan agama supaya mereka menjadi ibu yang boleh mendidik anak-anak.[12] Pada tahun 1925, Sayid Syeikh Al-Hadi telah menerbitkan sebuah novel yang bertajuk Hikayat Faridah Hanum. Hikayat ini telah menegaskan pentingnya pelajaran dan kebebasan wanita kepada masyarakat.[13] Selain itu, Kaum Muda dengan secara sengaja telah membandingkan wanita Melayu dengan Wanita Amerika. Wanita di Amerika dikatakan berusaha sendiri untuk menanggung kehidupan dengan melakukan pelbagai pekerjaan yang selama ini menjadi pekerjaan yang mustahil bagi wanita di Tanah Melayu seperti berkerja dalam syarikat-syarikat, mengangkat batu-bata, membina bangunan dan sebagainya.[14] Oleh itu, Pendidikanlah ubat yang paling mujarab untuk menyedarkan wanita tentang peri pentingnya peranan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara.
Kaum Muda secara tegasnya telah menyuarakan pandangan mereka tentang kepentingan pendidikan. Ini kerana pendidikan merupakan salah satu medium untuk meninggikan martabat orang Melayu seperti yang telah dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki.[15] Beliau menyatakan bahawa pendidikan ini saling bersangkut paut dengan aspek keagamaan, sosial, politik, dan ekonomi orang Melayu. Pembangunan yang telah disediakan oleh pihak British tidak mencukupi untuk orang Melayu kerana pembangunan ini masih memberi keuntungan kepada pihak British itu sendiri. Oleh itu, Kaum Muda memberi penekanan kepada ilmu Sejarah supaya orang Melayu sedar dan mengambil ikhtibar daripada sejarah yang telah berlaku.[16] Kaum Muda menyatakan kurangnya kesedaran pendidikan disebabkan oleh kelalaian raja-raja dan orang-orang besar Melayu yang tidak menyediakan pelajaran untuk rakyatnya sedangkan mereka mempunyai kuasa untuk memerintah rakyatnya menuntut ilmu kerana mereka golongan yang sangat dihormati.[17] Namun, sebaliknya raja-raja dan orang-orang besar lalai dalam kehidupan mereka yang diselubungi dengan kemewahan dan kesenangan. Oleh itu, orang Melayu perlu mementingkan pendidikan supaya tidak ketinggalan ke belakang lagi. Haji Muhammad Tahir, seorang guru telah memberi cadangan tentang peringkat persekolahan dan pelajaran bagi anak-anak Melayu. Beliau mencadangkan supaya pendidikan yang diberikan tidak hanya bercorak agama semata-mata malah disulami dengan ilmu yang diberikan oleh orang-orang Barat.[18] Di sini Kaum Muda telah memainkan peranan dengan menggesa orang Melayu supaya menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Haji Muhammad Tahir dan menyeru mereka menyuarakan kepada pihak Raja-raja Melayu dan Pesuruhanjaya Tinggi British agar diberi wang peruntukkan khas untuk sekolah-sekolah tersebut. Madrasah yang pertama yang telah berjaya didirikan oleh Sayid Syeikh Al-Hadi ialah Madrasah Al-Iqbal Al-Islamiyah di Singapura pada tahun 1908 kemudian mendirikan Madrasah Al-Hadi di bandar Kaba, Melaka pada tahun 1917 dan seterusnya Madrasah Al-Masyur di Pulau Pinang.[19] Melalui pendidikan Kaum Muda telah melahirkan ramai tokoh politik seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Othman Abdullah dan juga Salmah Mohsin.[20]
Kaum Muda juga memberi pendapat mengenai soal pentadbiran. Kaum Muda menyatakan bahawa dengan melatih anak-anak negeri menjadi pentadbir dan menggantikan pegawai-pegawai asing dengan pegawai-pegawai anak negeri maka kemajuan akan segera diperolehi.[21] Kaum Muda telah mengambil contoh daripada Turki dan Jepun yang telah meletakkan bangsa mereka sendiri dalam corak pentadbiran negara. Hal ini jauh berbeza dengan sistem pentadbiran di Tanah Melayu ketika itu. British telah diberi kuasa dalam soal pentadbiran manakala golongan raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu terasing dan mengasingkan diri daripada rakyat jelata.[22] Selain itu, orang Melayu selalu ketinggalan dalam bidang ekonomi yang dapat diperhatikan berdasarkan petikan di bawah:
“Walaupun sering dikatakan orang Melayu penduduk peribumi negara ini disebut ‘peribumi’ serta menguasai sistem politik dan pemerintahan negara ini, tetapi dalam bidang ekonomi atau perjuangan merebut nilai kebendaan, mereka tewas kepada golongan imigran.”[23]
Petikan ini jelas menunjukkan bahawa orang Melayu gagal menguasai ekonomi di negara sendiri sedangkan golongan pendatang dapat mengaut keuntungan di Tanah Melayu. Nasib orang Melayu seperti melukut di tepi gantang kerana pihak penjajah terus membiarkan orang Melayu dalam sektor pertanian yang tidak mempunyai daya pengeluaran dan memberikan pulangan yang tidak stabil. Kaum Muda berharap orang Melayu sedar bahawa mereka telah dipergunakan oleh British untuk kepentingan mereka sendiri. Selain itu, kemasukkan penjajah di Tanah Melayu telah membawa sistem ‘pecah dan perintah’. Sistem ini telah mewujudkan sistem ekonomi kapitalis yang berbeza dengan corak ekonomi yang diamalkan sebelum kedatangan penjajah iaitu sistem ekonomi tradisi. Ekonomi kapitalis telah menyebabkan masalah kemiskinan di Tanah Melayu terus meningkat dan Kaum Muda menyarankan supaya orang Melayu perlu bersaing dengan imigran lain supaya ekonomi di Tanah Melayu dikuasai oleh orang Melayu sendiri.[24] Oleh itu, jelaslah disini bahawa golongan agama memainkan peranan yang penting dalam kesedaran kebangsaan dan politik dalam kalangan orang Melayu. Kaum Muda bukan sahaja menyedarkan orang Melayu supaya bangkit menentang pihak kolonial malah bangun dari tidur yang lena untuk terus bersaing dengan imigran di Tanah Melayu.
Selain itu, penulisan telah menjadi medium golongan agama untuk menyebarkan kesedaran kebangsaan dan politik orang Melayu. Di sekolah-sekolah juga, akhbar digunakan sebagai alat untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar. Ini bermakna akhbar menjadi lidah rasmi orang Melayu untuk menyebarkan pergerakan dan kesedaran berpolitik. Singapura telah menjadi tapak permulaan penulisan. Penerbitan golongan pembaharuan ini telah dimulakan oleh majalah Al-Imam (1906), Neracha (1911), akhbar Idaran Zaman (1925), majalah Al-Ikhwan (1926) dan Saudara (1928).[25] Selain daripada akhbar dan majalah Kaum Muda juga menghasilkan novel-novel bertemakan pemikiran baru seperti emansipasi wanita. Contohnya Sayid Syeikh Al-Hadi menghasilkan novel Hikayat Faridah Hanum, Hikayat Puteri Nurul Ain, Bercinta Buta dan juga Angan-angan Kehidupan.[26] Oleh itu, dengan berlakunya perkembangan dalam bidang penulisan ini membolehkan pembaharuan yang dilakukan oleh Kaum Muda tersebar luas di Tanah Melayu. Jelaslah di sini bahawa golongan agama pada awal kurun ke-20 telah menyebabkan kesedaran kebangsaan wujud untuk memperjuangkan kemerdekaan bangsa daripada terus dijajah. Contohnya Syed Syeikh Al-Hadi dalam tulisannya dalam Al-Ikhwan pada 16 Oktober 1926 yang berbunyi begini “...wahai sekalian Al-Ikhwan, bagaimanakah sedapnya kita tidur di dalam paluan gelombang yang berpecah ini, di dalam ribut taufan petir halilintar yang membelah akan bukit ini. Tidakkah mengejutkan kamu bunyi gelombang yang berpalu itu?”.[27] Hal ini jelas menunjukkan bahawa Syed Syeikh Al-Hadi meminta masyarakat Melayu bangkit dan sedar bahawa negara mereka telah dikuasai oleh kuasa asing.
2.2 Perjuangan Pelajar-pelajar Melayu yang berpendidikan di Timur Tengah
Pelajar-pelajar Melayu yang pernah aktif di Kaherah terus memainkan peranan mereka untuk mewujudkan kesedaran kebangsaan apabila sekembalinya mereka di Tanah Melayu. Contohnya Othman Abdullah yang telah kembali di Tanah Melayu pada tahun 1926.[28] Beliau pernah dilantik menjadi pengurus dan penulis sambilan akhbar dwi-mingguan Majlis pada tahun 1931.[29] Kemudian, pada tahun 1938 beliau merupakan salah seorang yang terlibat dengan dalam penubuhan Persatuan Melayu Selangor (PMS).[30] PMS ini bermatlamat untuk menyuarakan pandangan politik kepada kerajaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan orang Melayu. Peranan yang dimainkan oleh Othman Abdullah tidak terhenti setakat itu sahaja. Pada tahun 1939, beliau telah dilantik menjadi bendahari kepada persatuan Kesatuan Melayu Muda (KMM).[31] Oleh itu, jelaslah di sini bahawa mereka yang mendapat pendidikan di Timur Tengah lebih cenderung untuk melibatkan diri dalam aktiviti memperjuangkan soal kedaulatan negara.
Selain itu, Haji Wan Ahmad seorang ulama yang terkenal di Perak juga turut berperanan untuk menyedarkan orang Melayu tentang kesedaran kebangsaan. Beliau merupakan seorang yang dikhuatiri oleh pihak British dalam pergerakkannya. Ini kerana pada tahun 1932, beliau dengan lantangnya telah mempersoalkan di khalayak ramai mengenai kewibawaan seorang hakim Melayu, Toh Muda Yahya dan Pegawai Daerah Lenggong berhubung dengan Undang-undang Inggeris yang mereka jalankan. Beliau berpendapat bahawa tindakan undang-undang yang diambil tidak mengikut undang-undang yang digariskan oleh Al-Quran.[32] British menganggap Haji Wan Ahmad sebagai orang yang pro-Turki dan anti-British kerana beliau pernah menyeru kepada orang Melayu supaya bergabung tenaga dengan orang Turki. Beliau menyatakan bahawa Tanah Melayu akan lebih makmur jika ditadbir oleh Turki berbanding dengan pentadbiran British. Walaupun beliau bersikap begitu, namun British tidak mengambil tindakan yang drastik kerana beliau mempunyai hubungan yang erat dengan Sultan Perak. Ini kerana Sultan Alang Iskandar akan menjemput beliau menyampaikan kuliah agama sebulan sekali di Masjid Ubudiyah Kuala Kangsar.[33] Walaupun kebanyakan para ulama mendapat pendidikan di Timur Tengah namun sekembalinya mereka di Tanah Melayu mereka lebih cenderung untuk melibatkan diri dalam usaha-usaha menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat termasuk menanamkan kesedaran politik.
2.3 Hizbul Muslimin
Pada Mac 1947, atas inisiatif Dr. Burhanuddin daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Ustaz Abu Bakar Bakir iaitu Pengetua Madrasah Al-Ehya Asshariff Gunung Semanggol Perak satu Persidangan Ekonomi-Agama Se-Malaya telah diadakan di madrasah tersebut.[34] Persidangan itu telah berjaya melahirkan dua buah pertubuhan iaitu Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMAS) dan Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA).[35] MATA telah mennganjurkan penubuhan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) pada November 1947 yang berperanan untuk penerbitan buku teks, merangka kurikulum yang sama untuk semua sekolah agama rakyat, meningkatkan bilangan sekolah agama dan meningkatkan taraf pendidikan di sekolah-sekolah sehingga ke peringkat antarabangsa. Pada Mac 1948, MATA telah mengadakan mesyuarat yang keempat di Madrasah Al-Ehya Asshariff dan satu isu yang paling penting yang dibincangkan ialah penubuhan sebuah parti politik Islam yang telah dihadiri seramai 5 000 orang.[36] Persidangan ini membuahkan hasil apabila sebuah parti politik berjaya ditubuhkan yang diberi nama Hizbul Muslimin. Penubuhan Hizbul Muslimin ini mempunyai matlamat yang tersendiri iaitu mencapai kemerdekaan, membina masyarakat yang berasaskan Islam dan menjadikan Malaya sebuah negara Islam.[37] Hizbul Muslimin telah merangka tujuh objektif untuk memastikan matlamat pertubuhan ini tercapai. Tujuh matlamat yang dimaksudkan ialah untuk menjadikan orang Islam di Malaya sedar tentang prinsip-prinsip Islam, menyatukan barisan orang Islam yang berpecah berpegang pada satu ideologi, menyokong kebebasan akhbar, berhimpun dan bercakap, meningkatkan bilangan sekolah, menyediakan pendidikan mengikut keperluan semasa, meningkatkan kebaikkan moral orang-orang Melayu dan juga menjaga ekonomi dan kebajikan orang Melayu.[38] Namun, semua aktiviti Hizbul Muslimin terganggu setelah pengisytiharan darurat pada Jun 1948. Pada Ogos 1948, tujuh orang pemimpin parti Hizbul Muslimim telah ditangkap di bawah undang-undang darurat. Selain Dr. Burhanuddin dan Ustaz Abu Bakar Bakir, seorang lagi ulama yang terkemuka yang telah menyumbang jasa dalam Hizbul Muslimin iaitu Syeikh Tahir Jalaluddin. Beliau memyumbangkan buah fikiran mengenai ekonomi rakyat dan sekolah agama rakyat yang diadakan di Gunung Semanggol sehingga menyebabkan Onn bin Jaafar bersama tokoh lain berteriak ‘awas, bahaya dari gunung!!!’[39] Gunung yang dimaksudkan ialah Gunung Semanggol iaitu tempat kelahiran Hizbul Muslimin. Walaupun perjuangan Hizbul Muslimim terkubur begitu sahaja akibat pengisytiharan darurat namun usaha untuk memperolehi kemerdekaan terus diperjuangkan oleh parti politik yang lain.
2.4 Perjuangan Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) dan Dr. Burhanuddin al-Helmy
PAS diasaskan pada mulanya atas tajaan UMNO (United Malays National Organization) untuk menarik orang Melayu untuk menyertai UMNO. PAS mempunyai matlamat untuk mewujudkan sebuah negara Islam dan menjadikan pentadbiran Tanah Melayu berasaskan agama Islam. Menurut John Funston, PAS telah mewarisi dasar-dasarnya daripada tiga tradisi ideologi iaitu pendekatan PKMM yang bercorak nasionalis dan sosialis, gerakan Islam daripada Hizbul Muslimin dan gerakan anti-UMNO.[40] Di sebalik matlamat perjuangan PAS ini maka lahirlah tokoh-tokoh yang berkaliber seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy iaitu seorang tokoh yang mempunyai wawasan dan berpandangan jauh untuk memajukan parti. Sebelum menyertai PAS, beliau pernah terlibat dengan Parti Kebangsaan Melayu Melaya (PKMM) iaitu sebuah pertubuhan yang mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan untuk Tanah Melayu.[41] Beliau merupakan seorang tokoh agama yang mampu menguasai bahasa Arab dan Inggeris di samping bahasa Melayu dan beliaulah yang telah mencadangkan penubuhan Hizbul Muslimin. Beliau telah bersetuju menyertai PAS dengan harapan dengan penglibatannya dalam PAS akan mengurangkan spekulasi terhadap sikap politiknya yang sebenar.[42] Pada peringkat awal sikap beliau tidak begitu menyerlah sebagai seorang pemimpin parti Islam yang lebih bersifat radikal kerana beliau dikatakan seorang yang sederhana. Kesederhanaan beliau tidak bermakna beliau seoarang yang lemah tetapi sebenarnya beliau mempunyai pemikiran yang sungguh berbisa. Menurut Dr. Burhanuddin, PAS sebenarnya mempunyai tiga tugas penting iaitu bergiat dalam politik negara, memajukan organisasi PAS dan menjalankan tugas PAS sebagai pendakwah Islam. Sebagai presiden PAS, beliau telah membuat kritikan terhadap cadangan pelembagaan Suruhanjaya Reid berkenaan dengan isu kerakyatan jus soli, penggunaan bahasa Melayu, kedudukan orang-orang Melayu dan mengenai pendidikan kebangsaan.[43] Oleh itu satu memorandum telah dihantar kepada Suruhanjaya Reid dan disokong oleh ahli-ahli yang lain.[44] Kepimpinan Dr. Burhanuddin telah membentuk pendirian politik PAS dan beliau merupakan seorang nasionalis Melayu yang cuba menegakkan kebangsaan Melayu dan dasar Melayu Raya. Beliau banyak memainkan peranan dalam usaha memantapkan dan memperkembangkan PAS serta menyalurkan ideanya dalam usaha menuntut kemerdekaan negara. Dalam usaha untuk menuntut kemerdekaan PAS buat julung kalinya menyertai pilihanraya dan daripada sebelas kawasan yang bertanding, PAS hanya berjaya memenangi satu kerusi sahaja iaitu di Kerian Pauh yang telah diwakil oleh Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Hussin.[45] Walaupun PAS hanya memenangi satu kerusi sahaja, namun kemenangan ini dianggapkan sebagai kemenangan yang di luar jangkaan kerana pada masa itu PAS baru sahaja didaftarkan sebagai sebuah parti politik. Oleh itu, perjuangan golongan agama sehingga 1957, telah diakhiri dengan perjuangan parti PAS walaupun pada hakikatnya perjuangan golongan agama ini sebenarnya telah malap selepas pembubaran Hizbul Muslimim.
3.0 KESIMPULAN
Oleh itu, jelaslah di sini bahawa golongan agama memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan kesedaran kebangsaan dan politik di Tanah Melayu. Sebelum Perang Dunia kedua, para ulama yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan terdedah dengan perkembangan yang berlaku di sana telah memainkan peranan penting dalam menyemai kesedaran politik dalam kalangan orang Melayu. Walaupun peranan yang dimainkan tidaklah sampai membawa kepada perubahan politik dan sosial yang drastik dalam masyarakat Melayu namun usaha yang telah dimainkan oleh golongan agama ini tidak harus diketepikan. Kebangkitan usaha kesedaran politik dari golongan agama ini mencapai kemuncaknya dengan penubuhan Hizbul Muslimim sehingga penubuhan parti ini telah menyebabkan British dan juga UMNO merasa tercabar. Pengisytiharan darurat dalam tempoh kematangan Hizbul Muslimim untuk menggerakkan perjuangannya menjadi tanda tanya kepada mereka yang berfikir tentang sebab musabab darurat ini diisytiharkan. Adakah benar disebabkan kebangkitan komunis ataupun sememangnya disebabkan kebimbingan British terhadap Hizbul Muslimim? Pengharaman Hizbul Muslimin tidak bermakna perjuangan golongan agama terkubur begitu sahaja. Pelbagai usaha telah dilakukan seperti perjuangan Dr. Burhanuddin sehingga 1957. Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa golongan agama juga turut berperanan dalam mencorak sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dan usaha mereka perlu diberi perhatian. Bukan sanjungan yang diperlukan tetapi cukuplah sekadar jasa mereka dikenang dalam sejarah kemerdekaan di Tanah Melayu.
[1] Abdul Rahman Haji Ismail, “Bangsa Ke Arah Ketepatan Makna dalam Membincangkan Nasionalisme Melayu”, dalam Abdul Rahman Haji Ismail dll, Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia, Pulau Pinang: Penerbitan Universiti Sains Malaysia, 2006, m.s. 1.
[2] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 2003, m.s. 27.
[3] Ibid.
[4] Abdul Aziz Mat Ton, Pengislahan Masyarakat Melayu Perbincangan al-Imam (1906-1908), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, m.s. 1.
[5] Mohammad Redzuan Othman, Islam dan Masyarakat Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 2005, m.s. 113.
[6] Ibid.
[7] Abdullah Haji Jaafar, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1985, m.s. 87.
[8] Ibid.
[9] Ibid.
[10] Abdul Aziz Mat Ton, Pengislahan Masyarakat Melayu Perbincangan al-Imam (1906-1908), m.s. 254.
[11] Abdullah Haji Jaafar, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, m.s. 87.
[12] Ibid., m.s. 93.
[13] Abdullah Haji Jaafar, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, m.s. 100.
[14] Ibid.
[15] Abdul Aziz Mat Ton, Pengislahan Masyarakat Melayu Perbincangan al-Imam (1906-1908), m.s. 416.
[16] Abdullah Haji Jaafar, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, m.s. 87.
[17] Ibid., m.s. 91.
[18] Ibid.
[19] Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia (1800-1963), Selangor: Utusan Publications dan Distribitors Sdn. Bhd., 2002, m.s. 231.
[20] Ibid.
[21] Abdullah Haji Jaafar, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, m.s. 97.
[22] Ibid.
[23] Ibid., m.s. 88.
[24] Ibid.
[25] Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia (1800-1963), m.s. 232.
[26] Ibid.
[27] Abdul Samad Idris, 25 Tahun Merdeka: Kenangan Abadi Kepada Bangsa, Kuala Lumpur: Pustaka Budiman, 1982, m.s.27.
[28] Mohammad Redzuan Othman, Islam dan Masyarakat Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, m.s. 119.
[29] Ibid.
[30] Ibid.
[31] Mohammad Redzuan Othman, Islam dan Masyarakat Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, m.s. 120.
[32] Ibid.
[33] Ibid.
[34] Mohamed Salleh Lamry, Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2006, m.s. 72
[35] Ibid.
[36] Ibid.
[37] Abdul Razak Ayub, Perpecahan Bangsa Melayu, Selangor: Dewan Pustaka Fajar, 1985, m.s. 45.
[38] Ibid.
[39] Bachtiar Djamily, Riwayat Hidup dan Perjuangan Syeikh Tahir Jalaluddin, Kuala Lumpur: Asmah Publisher, 1994, m.s. 119.
[40] Ibrahim Ahmad, Konflik UMNO-PAS Dalam Isu Islaminasi, Selangor: IBS Buku Sdn. Bhd., 1989, m.s. 58.
[41] Ahmad Boestamam, Putera Setia Melayu Raya, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Kejora, 1972, m.s. 10.
[42] Kamaruddin Jaafar, Dr. Burhanuddin Al-Helmy ‘Pemikir dan Perjuangan’, Selangor: Seri Kembangan, 2003, m.s. 214.
[43] Ibid.
[44] Ibid.
[45] Muhammad Abu Bakar, Ulama Terengganu Suatu Sorotan, Terengganu: Utusan Publications dan Distributors Sdn. Bhd., 1991, m.s. 229.
Saturday, October 10, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)