Saturday, October 10, 2009

NILAIKAN PERANAN GOLONGAN AGAMA DALAM KESEDARAN KEBANGSAAN DAN POLITIK ORANG MELAYU SEHINGGA 1957

1.0 PENDAHULUAN

Pada pandangan saya, golongan agama sememangnya memainkan peranan yang penting dalam kesedaran kebangsaan dan politik orang Melayu. Namun, sebelum kita menilai lebih jauh lagi mengenai peranan golongan agama ini lebih elok kiranya kita meninjau terlebih dahulu mengenai pengertian ‘kesedaran kebangsaan dan politik’. Kesedaran kebangsaan dan politik ini membawa maksud perasaan cinta dan taat setia kepada tanah air serta ingin membebaskan negara daripada penjajah. Berdasarkan pengertian ini jelas menunjukkan bahawa kesedaran kebangsaan dan politik dalam bahasa yang ringkas dan padat ialah nasionalisme yang berkaitan dengan ‘negara’ dan ‘bangsa’.[1] Dalam konteks di Tanah Melayu, kesedaran kebangsaan dan politik ini merujuk kepada sesebuah masyarakat yang sedar bahawa mereka dibelenggu hidup di bawah penjajahan seperti British dan mereka perlu bertindak untuk memerintah tanah air mereka tanpa diganggu gugat oleh kuasa lain. Menjelang abad ke-20, kebangkitan nasionalisme dalam kalangan orang Melayu semakin meluas dan dikatakan berada ditahap yang matang. W. R. Roff menyatakan bahawa proses perkembangan nasionalisme Melayu dibahagikan kepada tiga tahap yang dipimpin oleh tiga golongan yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Pada tahun 1906 sehingga 1926, golongan agama yang berpendidikan Arab telah memainkan peranan dalam perkembangan nasionalisme orang Melayu.[2] Kemudian pada tahun 1926 hingga 1937, golongan berpendidikan Inggeris telah memainkan peranan diikuti oleh golongan yang berpendidikan Melayu pada tahun 1937 hingga 1941.[3] Oleh itu, berdasarkan persoalan yang timbul saya akan memfokuskan peranan golongan agama sejak kemunculan Kaum Muda yang bermula pada tahun 1906 sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

2.0 PERANAN GOLONGAN AGAMA DALAM KESEDARAN KEBANGSAAN DAN POLITIK ORANG MELAYU SEHINGGA 1957

2.1 Perjuangan Kaum Muda

Gelombang kesedaran kebangsaan dan politik yang pertama dikatakan telah diterajui oleh golongan agama pada tahun 1906 seperti yang telah dinyatakan oleh W. R. Roff. Pada tahun 1906, jelas menunjukkan kemunculan golongan Al-Imam atau lebih dikenali sebagai Kaum Muda. Golongan ini digelar golongan Al-Imam kerana mereka telah menjadi pengasas kepada kemunculan majalah Al-Imam. Majalah ini telah diterbitkan pada 27 Julai 1906 atas nama pemiliknya Syeikh Muhammad bin Salim Al-Kalali.[4] Majalah Al-Imam ini membawa maksud pemimpin yang bertepatan dengan tujuan mereka untuk memimpin orang Melayu supaya sedar bahawa negara mereka telah dikuasai oleh bangsa asing dan mereka hanya menjadi penurut perintah walaupun berpijak pada bumi sendiri. Matlamat penerbitan majalah Al-Imam sungguh jelas iaitu “...mengingat mana yang lalai dan menjagakan mereka yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat...”[5] Kaum Muda ini mempunyai pendidikan Timur Tengah mahupun berpendidikan Melayu seperti Syeikh Muhammad Salim Al-Kalali, Syeikh Mohd. Tahir bin Jalaluddin Al-Azhari, dan Sayid Syeikh bin Ahmad Al-Hadi. Golongan ini kebanyakkannya bukan berdarah Melayu tempatan kecuali Haji Abbas bin Mohd. Taha.[6] Mereka merupakan Jawi Peranakan namun mereka telah sebati dengan cara hidup orang Melayu di Tanah Melayu. Oleh itu, jelas di sini bahawa mereka telah dimelayukan oleh budaya yang lebih tepat lagi dikenali sebagai bangsa budaya. Kaum Muda ini menyatakan bahawa kemunduran dan kehinaan bangsa Melayu adalah disebabkan oleh kelalaian orang Melayu dengan kehidupan duniawi.[7] Oleh itu, Kaum Muda berasa bertanggungjawab untuk menyedarkan orang Melayu walaupun kebanyakkan golongan ini bukanlah berdarah Melayu. Mereka sedar bahawa sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyedarkan orang Melayu. Keterangan ini dapat dibuktikan melalui penyataan yang telah dikeluarkan oleh Syeikh Mohd. Salim Al-Kalali iaitu:

“Sudah minum kami akan susunya dan telah tumbuh darinya daging darah kami dan telah terbit daripadanya nikmat perhatian kesenangan kami. Tidakkah jadi terhutang kami kepada negerinya dan anak-anaknya”.[8]

Kaum Muda merasakan kelemahan dari aspek keagamaan merupakan masalah utama yang menyebabkan terbantutnya perkembangan kemajuan pendidikan, ekonomi, sosial dan politik orang Melayu. Kebanyakkan orang Melayu tidak mematuhi ajaran Islam yang sebenar dan melakukan perbuatan yang ditegah dalam Islam. Oleh itu, Kaum Muda melalui majalahnya cuba menyedarkan Kaum Tua iaitu golongan yang masih mencampuradukkan antara tradisional dengan agama.[9] Kaum Muda menegaskan bahawa tindakan Kaum Tua telah membawa satu pegangan yang salah sekali gus telah menyebabkan orang Melayu yang keseluruhannya yang merupakan penganut setia Islam sering menyalahtafsirkan ajaran agama pada pengertian yang sebenar. Syed Syeikh Al-Hadi menyatakan bahawa amalan khurafat umat Islam dan sikap statis pemimpin agama yang menjadi punca kejatuhan masyarakat Melayu.[10] Tindakan Kaum Muda ini jelas ingin memberi kesedaran kepada orang Melayu bahawa Islam merangkumi semua aspek bukan agama semata-mata malah ekonomi, politik, dan juga sosial. Kaum Muda menyeru orang Melayu supaya menoleh ke arah Jepun untuk meniliti cara mereka memajukan bangsa dan negaranya.[11] Hal ini kerana orang Jepun menerima pembaharuan dari segi politik, ekonomi dan pertahanan namun tidak sedikit pun membelakangkan agamanya. Situasi ini berbeza sekali dengan pandangan orang Melayu yang menolak sepenuhnya tamadun Barat dan menganggap orang Barat sebagai musuh Islam. Apabila agama diasingkan dengan politik, ekonomi dan juga sosial maka pemikiran dan kemajuan orang Melayu tersekat dalam dunia pembangunan.

Golongan Agama juga telah memainkan peranan yang penting untuk menyedarkan orang Melayu melalui perubahan dari segi sosial. Perubahan sosial yang pertama telah diperjuangkan oleh Kaum Muda ialah memperjuangkan hak wanita untuk memperolehi pendidikan. Kaum Muda menyatakan bahawa perubahan dalam pendidikan perlu dilaksanakan dengan memberi pendidikan sekurang-kurangnya sampai darjah tiga untuk wanita dengan memberi pelajaran Al-Quran dan agama supaya mereka menjadi ibu yang boleh mendidik anak-anak.[12] Pada tahun 1925, Sayid Syeikh Al-Hadi telah menerbitkan sebuah novel yang bertajuk Hikayat Faridah Hanum. Hikayat ini telah menegaskan pentingnya pelajaran dan kebebasan wanita kepada masyarakat.[13] Selain itu, Kaum Muda dengan secara sengaja telah membandingkan wanita Melayu dengan Wanita Amerika. Wanita di Amerika dikatakan berusaha sendiri untuk menanggung kehidupan dengan melakukan pelbagai pekerjaan yang selama ini menjadi pekerjaan yang mustahil bagi wanita di Tanah Melayu seperti berkerja dalam syarikat-syarikat, mengangkat batu-bata, membina bangunan dan sebagainya.[14] Oleh itu, Pendidikanlah ubat yang paling mujarab untuk menyedarkan wanita tentang peri pentingnya peranan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Kaum Muda secara tegasnya telah menyuarakan pandangan mereka tentang kepentingan pendidikan. Ini kerana pendidikan merupakan salah satu medium untuk meninggikan martabat orang Melayu seperti yang telah dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki.[15] Beliau menyatakan bahawa pendidikan ini saling bersangkut paut dengan aspek keagamaan, sosial, politik, dan ekonomi orang Melayu. Pembangunan yang telah disediakan oleh pihak British tidak mencukupi untuk orang Melayu kerana pembangunan ini masih memberi keuntungan kepada pihak British itu sendiri. Oleh itu, Kaum Muda memberi penekanan kepada ilmu Sejarah supaya orang Melayu sedar dan mengambil ikhtibar daripada sejarah yang telah berlaku.[16] Kaum Muda menyatakan kurangnya kesedaran pendidikan disebabkan oleh kelalaian raja-raja dan orang-orang besar Melayu yang tidak menyediakan pelajaran untuk rakyatnya sedangkan mereka mempunyai kuasa untuk memerintah rakyatnya menuntut ilmu kerana mereka golongan yang sangat dihormati.[17] Namun, sebaliknya raja-raja dan orang-orang besar lalai dalam kehidupan mereka yang diselubungi dengan kemewahan dan kesenangan. Oleh itu, orang Melayu perlu mementingkan pendidikan supaya tidak ketinggalan ke belakang lagi. Haji Muhammad Tahir, seorang guru telah memberi cadangan tentang peringkat persekolahan dan pelajaran bagi anak-anak Melayu. Beliau mencadangkan supaya pendidikan yang diberikan tidak hanya bercorak agama semata-mata malah disulami dengan ilmu yang diberikan oleh orang-orang Barat.[18] Di sini Kaum Muda telah memainkan peranan dengan menggesa orang Melayu supaya menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Haji Muhammad Tahir dan menyeru mereka menyuarakan kepada pihak Raja-raja Melayu dan Pesuruhanjaya Tinggi British agar diberi wang peruntukkan khas untuk sekolah-sekolah tersebut. Madrasah yang pertama yang telah berjaya didirikan oleh Sayid Syeikh Al-Hadi ialah Madrasah Al-Iqbal Al-Islamiyah di Singapura pada tahun 1908 kemudian mendirikan Madrasah Al-Hadi di bandar Kaba, Melaka pada tahun 1917 dan seterusnya Madrasah Al-Masyur di Pulau Pinang.[19] Melalui pendidikan Kaum Muda telah melahirkan ramai tokoh politik seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Othman Abdullah dan juga Salmah Mohsin.[20]

Kaum Muda juga memberi pendapat mengenai soal pentadbiran. Kaum Muda menyatakan bahawa dengan melatih anak-anak negeri menjadi pentadbir dan menggantikan pegawai-pegawai asing dengan pegawai-pegawai anak negeri maka kemajuan akan segera diperolehi.[21] Kaum Muda telah mengambil contoh daripada Turki dan Jepun yang telah meletakkan bangsa mereka sendiri dalam corak pentadbiran negara. Hal ini jauh berbeza dengan sistem pentadbiran di Tanah Melayu ketika itu. British telah diberi kuasa dalam soal pentadbiran manakala golongan raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu terasing dan mengasingkan diri daripada rakyat jelata.[22] Selain itu, orang Melayu selalu ketinggalan dalam bidang ekonomi yang dapat diperhatikan berdasarkan petikan di bawah:

“Walaupun sering dikatakan orang Melayu penduduk peribumi negara ini disebut ‘peribumi’ serta menguasai sistem politik dan pemerintahan negara ini, tetapi dalam bidang ekonomi atau perjuangan merebut nilai kebendaan, mereka tewas kepada golongan imigran.”[23]

Petikan ini jelas menunjukkan bahawa orang Melayu gagal menguasai ekonomi di negara sendiri sedangkan golongan pendatang dapat mengaut keuntungan di Tanah Melayu. Nasib orang Melayu seperti melukut di tepi gantang kerana pihak penjajah terus membiarkan orang Melayu dalam sektor pertanian yang tidak mempunyai daya pengeluaran dan memberikan pulangan yang tidak stabil. Kaum Muda berharap orang Melayu sedar bahawa mereka telah dipergunakan oleh British untuk kepentingan mereka sendiri. Selain itu, kemasukkan penjajah di Tanah Melayu telah membawa sistem ‘pecah dan perintah’. Sistem ini telah mewujudkan sistem ekonomi kapitalis yang berbeza dengan corak ekonomi yang diamalkan sebelum kedatangan penjajah iaitu sistem ekonomi tradisi. Ekonomi kapitalis telah menyebabkan masalah kemiskinan di Tanah Melayu terus meningkat dan Kaum Muda menyarankan supaya orang Melayu perlu bersaing dengan imigran lain supaya ekonomi di Tanah Melayu dikuasai oleh orang Melayu sendiri.[24] Oleh itu, jelaslah disini bahawa golongan agama memainkan peranan yang penting dalam kesedaran kebangsaan dan politik dalam kalangan orang Melayu. Kaum Muda bukan sahaja menyedarkan orang Melayu supaya bangkit menentang pihak kolonial malah bangun dari tidur yang lena untuk terus bersaing dengan imigran di Tanah Melayu.

Selain itu, penulisan telah menjadi medium golongan agama untuk menyebarkan kesedaran kebangsaan dan politik orang Melayu. Di sekolah-sekolah juga, akhbar digunakan sebagai alat untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar. Ini bermakna akhbar menjadi lidah rasmi orang Melayu untuk menyebarkan pergerakan dan kesedaran berpolitik. Singapura telah menjadi tapak permulaan penulisan. Penerbitan golongan pembaharuan ini telah dimulakan oleh majalah Al-Imam (1906), Neracha (1911), akhbar Idaran Zaman (1925), majalah Al-Ikhwan (1926) dan Saudara (1928).[25] Selain daripada akhbar dan majalah Kaum Muda juga menghasilkan novel-novel bertemakan pemikiran baru seperti emansipasi wanita. Contohnya Sayid Syeikh Al-Hadi menghasilkan novel Hikayat Faridah Hanum, Hikayat Puteri Nurul Ain, Bercinta Buta dan juga Angan-angan Kehidupan.[26] Oleh itu, dengan berlakunya perkembangan dalam bidang penulisan ini membolehkan pembaharuan yang dilakukan oleh Kaum Muda tersebar luas di Tanah Melayu. Jelaslah di sini bahawa golongan agama pada awal kurun ke-20 telah menyebabkan kesedaran kebangsaan wujud untuk memperjuangkan kemerdekaan bangsa daripada terus dijajah. Contohnya Syed Syeikh Al-Hadi dalam tulisannya dalam Al-Ikhwan pada 16 Oktober 1926 yang berbunyi begini “...wahai sekalian Al-Ikhwan, bagaimanakah sedapnya kita tidur di dalam paluan gelombang yang berpecah ini, di dalam ribut taufan petir halilintar yang membelah akan bukit ini. Tidakkah mengejutkan kamu bunyi gelombang yang berpalu itu?”.[27] Hal ini jelas menunjukkan bahawa Syed Syeikh Al-Hadi meminta masyarakat Melayu bangkit dan sedar bahawa negara mereka telah dikuasai oleh kuasa asing.

2.2 Perjuangan Pelajar-pelajar Melayu yang berpendidikan di Timur Tengah

Pelajar-pelajar Melayu yang pernah aktif di Kaherah terus memainkan peranan mereka untuk mewujudkan kesedaran kebangsaan apabila sekembalinya mereka di Tanah Melayu. Contohnya Othman Abdullah yang telah kembali di Tanah Melayu pada tahun 1926.[28] Beliau pernah dilantik menjadi pengurus dan penulis sambilan akhbar dwi-mingguan Majlis pada tahun 1931.[29] Kemudian, pada tahun 1938 beliau merupakan salah seorang yang terlibat dengan dalam penubuhan Persatuan Melayu Selangor (PMS).[30] PMS ini bermatlamat untuk menyuarakan pandangan politik kepada kerajaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan orang Melayu. Peranan yang dimainkan oleh Othman Abdullah tidak terhenti setakat itu sahaja. Pada tahun 1939, beliau telah dilantik menjadi bendahari kepada persatuan Kesatuan Melayu Muda (KMM).[31] Oleh itu, jelaslah di sini bahawa mereka yang mendapat pendidikan di Timur Tengah lebih cenderung untuk melibatkan diri dalam aktiviti memperjuangkan soal kedaulatan negara.

Selain itu, Haji Wan Ahmad seorang ulama yang terkenal di Perak juga turut berperanan untuk menyedarkan orang Melayu tentang kesedaran kebangsaan. Beliau merupakan seorang yang dikhuatiri oleh pihak British dalam pergerakkannya. Ini kerana pada tahun 1932, beliau dengan lantangnya telah mempersoalkan di khalayak ramai mengenai kewibawaan seorang hakim Melayu, Toh Muda Yahya dan Pegawai Daerah Lenggong berhubung dengan Undang-undang Inggeris yang mereka jalankan. Beliau berpendapat bahawa tindakan undang-undang yang diambil tidak mengikut undang-undang yang digariskan oleh Al-Quran.[32] British menganggap Haji Wan Ahmad sebagai orang yang pro-Turki dan anti-British kerana beliau pernah menyeru kepada orang Melayu supaya bergabung tenaga dengan orang Turki. Beliau menyatakan bahawa Tanah Melayu akan lebih makmur jika ditadbir oleh Turki berbanding dengan pentadbiran British. Walaupun beliau bersikap begitu, namun British tidak mengambil tindakan yang drastik kerana beliau mempunyai hubungan yang erat dengan Sultan Perak. Ini kerana Sultan Alang Iskandar akan menjemput beliau menyampaikan kuliah agama sebulan sekali di Masjid Ubudiyah Kuala Kangsar.[33] Walaupun kebanyakan para ulama mendapat pendidikan di Timur Tengah namun sekembalinya mereka di Tanah Melayu mereka lebih cenderung untuk melibatkan diri dalam usaha-usaha menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat termasuk menanamkan kesedaran politik.

2.3 Hizbul Muslimin

Pada Mac 1947, atas inisiatif Dr. Burhanuddin daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Ustaz Abu Bakar Bakir iaitu Pengetua Madrasah Al-Ehya Asshariff Gunung Semanggol Perak satu Persidangan Ekonomi-Agama Se-Malaya telah diadakan di madrasah tersebut.[34] Persidangan itu telah berjaya melahirkan dua buah pertubuhan iaitu Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMAS) dan Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA).[35] MATA telah mennganjurkan penubuhan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) pada November 1947 yang berperanan untuk penerbitan buku teks, merangka kurikulum yang sama untuk semua sekolah agama rakyat, meningkatkan bilangan sekolah agama dan meningkatkan taraf pendidikan di sekolah-sekolah sehingga ke peringkat antarabangsa. Pada Mac 1948, MATA telah mengadakan mesyuarat yang keempat di Madrasah Al-Ehya Asshariff dan satu isu yang paling penting yang dibincangkan ialah penubuhan sebuah parti politik Islam yang telah dihadiri seramai 5 000 orang.[36] Persidangan ini membuahkan hasil apabila sebuah parti politik berjaya ditubuhkan yang diberi nama Hizbul Muslimin. Penubuhan Hizbul Muslimin ini mempunyai matlamat yang tersendiri iaitu mencapai kemerdekaan, membina masyarakat yang berasaskan Islam dan menjadikan Malaya sebuah negara Islam.[37] Hizbul Muslimin telah merangka tujuh objektif untuk memastikan matlamat pertubuhan ini tercapai. Tujuh matlamat yang dimaksudkan ialah untuk menjadikan orang Islam di Malaya sedar tentang prinsip-prinsip Islam, menyatukan barisan orang Islam yang berpecah berpegang pada satu ideologi, menyokong kebebasan akhbar, berhimpun dan bercakap, meningkatkan bilangan sekolah, menyediakan pendidikan mengikut keperluan semasa, meningkatkan kebaikkan moral orang-orang Melayu dan juga menjaga ekonomi dan kebajikan orang Melayu.[38] Namun, semua aktiviti Hizbul Muslimin terganggu setelah pengisytiharan darurat pada Jun 1948. Pada Ogos 1948, tujuh orang pemimpin parti Hizbul Muslimim telah ditangkap di bawah undang-undang darurat. Selain Dr. Burhanuddin dan Ustaz Abu Bakar Bakir, seorang lagi ulama yang terkemuka yang telah menyumbang jasa dalam Hizbul Muslimin iaitu Syeikh Tahir Jalaluddin. Beliau memyumbangkan buah fikiran mengenai ekonomi rakyat dan sekolah agama rakyat yang diadakan di Gunung Semanggol sehingga menyebabkan Onn bin Jaafar bersama tokoh lain berteriak ‘awas, bahaya dari gunung!!!’[39] Gunung yang dimaksudkan ialah Gunung Semanggol iaitu tempat kelahiran Hizbul Muslimin. Walaupun perjuangan Hizbul Muslimim terkubur begitu sahaja akibat pengisytiharan darurat namun usaha untuk memperolehi kemerdekaan terus diperjuangkan oleh parti politik yang lain.

2.4 Perjuangan Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) dan Dr. Burhanuddin al-Helmy

PAS diasaskan pada mulanya atas tajaan UMNO (United Malays National Organization) untuk menarik orang Melayu untuk menyertai UMNO. PAS mempunyai matlamat untuk mewujudkan sebuah negara Islam dan menjadikan pentadbiran Tanah Melayu berasaskan agama Islam. Menurut John Funston, PAS telah mewarisi dasar-dasarnya daripada tiga tradisi ideologi iaitu pendekatan PKMM yang bercorak nasionalis dan sosialis, gerakan Islam daripada Hizbul Muslimin dan gerakan anti-UMNO.[40] Di sebalik matlamat perjuangan PAS ini maka lahirlah tokoh-tokoh yang berkaliber seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy iaitu seorang tokoh yang mempunyai wawasan dan berpandangan jauh untuk memajukan parti. Sebelum menyertai PAS, beliau pernah terlibat dengan Parti Kebangsaan Melayu Melaya (PKMM) iaitu sebuah pertubuhan yang mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan untuk Tanah Melayu.[41] Beliau merupakan seorang tokoh agama yang mampu menguasai bahasa Arab dan Inggeris di samping bahasa Melayu dan beliaulah yang telah mencadangkan penubuhan Hizbul Muslimin. Beliau telah bersetuju menyertai PAS dengan harapan dengan penglibatannya dalam PAS akan mengurangkan spekulasi terhadap sikap politiknya yang sebenar.[42] Pada peringkat awal sikap beliau tidak begitu menyerlah sebagai seorang pemimpin parti Islam yang lebih bersifat radikal kerana beliau dikatakan seorang yang sederhana. Kesederhanaan beliau tidak bermakna beliau seoarang yang lemah tetapi sebenarnya beliau mempunyai pemikiran yang sungguh berbisa. Menurut Dr. Burhanuddin, PAS sebenarnya mempunyai tiga tugas penting iaitu bergiat dalam politik negara, memajukan organisasi PAS dan menjalankan tugas PAS sebagai pendakwah Islam. Sebagai presiden PAS, beliau telah membuat kritikan terhadap cadangan pelembagaan Suruhanjaya Reid berkenaan dengan isu kerakyatan jus soli, penggunaan bahasa Melayu, kedudukan orang-orang Melayu dan mengenai pendidikan kebangsaan.[43] Oleh itu satu memorandum telah dihantar kepada Suruhanjaya Reid dan disokong oleh ahli-ahli yang lain.[44] Kepimpinan Dr. Burhanuddin telah membentuk pendirian politik PAS dan beliau merupakan seorang nasionalis Melayu yang cuba menegakkan kebangsaan Melayu dan dasar Melayu Raya. Beliau banyak memainkan peranan dalam usaha memantapkan dan memperkembangkan PAS serta menyalurkan ideanya dalam usaha menuntut kemerdekaan negara. Dalam usaha untuk menuntut kemerdekaan PAS buat julung kalinya menyertai pilihanraya dan daripada sebelas kawasan yang bertanding, PAS hanya berjaya memenangi satu kerusi sahaja iaitu di Kerian Pauh yang telah diwakil oleh Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Hussin.[45] Walaupun PAS hanya memenangi satu kerusi sahaja, namun kemenangan ini dianggapkan sebagai kemenangan yang di luar jangkaan kerana pada masa itu PAS baru sahaja didaftarkan sebagai sebuah parti politik. Oleh itu, perjuangan golongan agama sehingga 1957, telah diakhiri dengan perjuangan parti PAS walaupun pada hakikatnya perjuangan golongan agama ini sebenarnya telah malap selepas pembubaran Hizbul Muslimim.

3.0 KESIMPULAN

Oleh itu, jelaslah di sini bahawa golongan agama memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan kesedaran kebangsaan dan politik di Tanah Melayu. Sebelum Perang Dunia kedua, para ulama yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan terdedah dengan perkembangan yang berlaku di sana telah memainkan peranan penting dalam menyemai kesedaran politik dalam kalangan orang Melayu. Walaupun peranan yang dimainkan tidaklah sampai membawa kepada perubahan politik dan sosial yang drastik dalam masyarakat Melayu namun usaha yang telah dimainkan oleh golongan agama ini tidak harus diketepikan. Kebangkitan usaha kesedaran politik dari golongan agama ini mencapai kemuncaknya dengan penubuhan Hizbul Muslimim sehingga penubuhan parti ini telah menyebabkan British dan juga UMNO merasa tercabar. Pengisytiharan darurat dalam tempoh kematangan Hizbul Muslimim untuk menggerakkan perjuangannya menjadi tanda tanya kepada mereka yang berfikir tentang sebab musabab darurat ini diisytiharkan. Adakah benar disebabkan kebangkitan komunis ataupun sememangnya disebabkan kebimbingan British terhadap Hizbul Muslimim? Pengharaman Hizbul Muslimin tidak bermakna perjuangan golongan agama terkubur begitu sahaja. Pelbagai usaha telah dilakukan seperti perjuangan Dr. Burhanuddin sehingga 1957. Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa golongan agama juga turut berperanan dalam mencorak sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dan usaha mereka perlu diberi perhatian. Bukan sanjungan yang diperlukan tetapi cukuplah sekadar jasa mereka dikenang dalam sejarah kemerdekaan di Tanah Melayu.


[1] Abdul Rahman Haji Ismail, “Bangsa Ke Arah Ketepatan Makna dalam Membincangkan Nasionalisme Melayu”, dalam Abdul Rahman Haji Ismail dll, Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia, Pulau Pinang: Penerbitan Universiti Sains Malaysia, 2006, m.s. 1.
[2] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 2003, m.s. 27.

[3] Ibid.
[4] Abdul Aziz Mat Ton, Pengislahan Masyarakat Melayu Perbincangan al-Imam (1906-1908), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, m.s. 1.
[5] Mohammad Redzuan Othman, Islam dan Masyarakat Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 2005, m.s. 113.
[6] Ibid.
[7] Abdullah Haji Jaafar, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1985, m.s. 87.
[8] Ibid.
[9] Ibid.
[10] Abdul Aziz Mat Ton, Pengislahan Masyarakat Melayu Perbincangan al-Imam (1906-1908), m.s. 254.
[11] Abdullah Haji Jaafar, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, m.s. 87.
[12] Ibid., m.s. 93.
[13] Abdullah Haji Jaafar, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, m.s. 100.
[14] Ibid.
[15] Abdul Aziz Mat Ton, Pengislahan Masyarakat Melayu Perbincangan al-Imam (1906-1908), m.s. 416.
[16] Abdullah Haji Jaafar, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, m.s. 87.
[17] Ibid., m.s. 91.
[18] Ibid.
[19] Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia (1800-1963), Selangor: Utusan Publications dan Distribitors Sdn. Bhd., 2002, m.s. 231.
[20] Ibid.
[21] Abdullah Haji Jaafar, “Al-Imam”, dalam Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, m.s. 97.
[22] Ibid.
[23] Ibid., m.s. 88.
[24] Ibid.
[25] Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia (1800-1963), m.s. 232.
[26] Ibid.
[27] Abdul Samad Idris, 25 Tahun Merdeka: Kenangan Abadi Kepada Bangsa, Kuala Lumpur: Pustaka Budiman, 1982, m.s.27.
[28] Mohammad Redzuan Othman, Islam dan Masyarakat Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, m.s. 119.
[29] Ibid.
[30] Ibid.
[31] Mohammad Redzuan Othman, Islam dan Masyarakat Melayu Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, m.s. 120.
[32] Ibid.
[33] Ibid.
[34] Mohamed Salleh Lamry, Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2006, m.s. 72
[35] Ibid.
[36] Ibid.
[37] Abdul Razak Ayub, Perpecahan Bangsa Melayu, Selangor: Dewan Pustaka Fajar, 1985, m.s. 45.
[38] Ibid.
[39] Bachtiar Djamily, Riwayat Hidup dan Perjuangan Syeikh Tahir Jalaluddin, Kuala Lumpur: Asmah Publisher, 1994, m.s. 119.
[40] Ibrahim Ahmad, Konflik UMNO-PAS Dalam Isu Islaminasi, Selangor: IBS Buku Sdn. Bhd., 1989, m.s. 58.
[41] Ahmad Boestamam, Putera Setia Melayu Raya, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Kejora, 1972, m.s. 10.
[42] Kamaruddin Jaafar, Dr. Burhanuddin Al-Helmy ‘Pemikir dan Perjuangan’, Selangor: Seri Kembangan, 2003, m.s. 214.
[43] Ibid.
[44] Ibid.
[45] Muhammad Abu Bakar, Ulama Terengganu Suatu Sorotan, Terengganu: Utusan Publications dan Distributors Sdn. Bhd., 1991, m.s. 229.

“SELAIN DARIPADA KESAN-KESANNYA TERHADAP PERKEMBANGAN NASIOANALIS, PENDUDUKAN JEPUN JUGA TELAH MENDATANGKAN KESAN-KESAN DALAM BIDANG-BIDANG YANG LAIN.

1.0 PENGENALAN

Semangat nasionalisme wujud apabila sekumpulan manusia secara bersama menganggap diri mereka sebagai empunya yang berhak dari segi politik dan kedaulatan terhadap sesuatu wilayah politik (negara) tertentu yang mereka perintah sendiri ataupun dijajah oleh kuasa lain.[1] Oleh itu, dalam konteks persoalan yang diberikan jelas menunjukkan bahawa pendudukan Jepun telah mendorong peribumi Indonesia untuk mendapatkan kembali hak politik dan kedaulatannya yang selama ini telah dirampas oleh kuasa asing seperti Belanda. Orang Jepun pula, lebih cenderung mencanang sumbangan mereka dalam meningkatkan dan mengukuhkan lagi nasionalisme tempatan. Penyataan ini jelas menunjukkan bahawa kehadiran Jepun di Asia Tenggara telah mempercepatkan proses pencapaian kemerdekaan sekali gus membawa kepada pembebasan Asia Tenggara daripada penjajahan Barat. Hal ini bertepatan dengan pandangan J.M. Kahin yang menyatakan bahawa Jepun telah memberi sumbangan yang besar di Asia Tenggara termasuklah di Indonesia.[2] Namun, sebenarnya pendudukan Jepun di Asia Tenggara bukan sahaja memberi kesan terhadap perkembangan nasionalis dalam kalangan penduduk tempatan untuk menuntut sistem pemerintahan berkerajaan sendiri malahan turut memberi kesan dalam bidang yang lain seperti politik, ekonomi dan sosial. Walau bagaimanapun, akibat tekanan dari segi ekonomi, perubahan sosial, dan peluang dalam politik ini secara tidak sengaja telah menyebabkan semangat nasionalisme dalam kalangan peribumi semakin membara. Berdasarkan persoalan tersebut, saya akan memfokuskan kesan pendudukan Jepun di Indonesia dengan menekan kesan dari segi perkembangan nasionalis, politik, ekonomi dan juga sosial yang secara tersuratnya mempunyai kaitan dengan peningkatan semangat nasionalisme di Indonesia.

2.0 SEMANGAT NASIONALISME DALAM KALANGAN PENDUDUK PERIBUMI TELAH WUJUD SEBELUM PENDUDUKAN JEPUN DI INDONESIA

Sebelum kita menjawab persoalan ini dengan lebih teliti, saya ingin menegaskan bahawa semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk peribumi di Indonesia telah wujud sebelum kedatangan Jepun. Contohnya sejak awal kurun ke-20 lagi telah wujud kebangkitan nasionalis seperti Raden Adjeng Kartini yang membawa kesedaran sosial dengan memperjuangkan keagungan kebangsaan dan emansipasi wanita. Perjuangannya melahirkan ‘Sekolah Desa’ pada tahun 1907 bertujuan menggalakkan pendidikan kepada rakyat Indonesia.[3] Belanda tidak menggalakkan penguasaan ilmu kepada Rakyat Indonesia kerana mereka sedar pendidikan mampu menjadi medium pertumbuhan nasionalisme.

Selain itu, penjajahan Belanda telah mewujudkan satu tekanan kepada rakyat Indonesia untuk terus bebas dari penjajah. Akibat daripada tekanan ini telah menyebabkan, Perserikatan Nasional Indonesia telah ditubuhkan pada tahun 1927.[4] Pada tahun 1928, namanya diubah menjadi Partai Nasional Indonesia (PNI).[5] Antara pengasas PNI yang terkenal ialah Sukarno yang telah membimbing PNI untuk mencapai matlamat mereka iaitu mencapai kemerdekaan. Namun, matlamat ini gagal setelah kerajaan membubarkan PNI pada tahun 1930. Sebelum pembubaran PNI dilaksanakan Sukarno dan rakan-rakan perjuangannya telah ditahan pada Disember 1929.[6] Oleh itu, berdasarkan matlamat perjuangan Sukarno ini jelas menunjukkan bahawa kesedaran nasionalisme dalam kalangan peribumi Indonesia telah wujud sebelum pendudukan Jepun. Walau bagaimanapun kehadiran Jepun telah meningkatkan lagi semangat nasionalisme di Indonesia. Ia menandakan satu revolusi perjuangan yang baru akan muncul apabila tindakan pertama yang dilakukan oleh Jepun sebaik sahaja berjaya menduduki Indonesia ialah membebaskan nasionalis yang pernah ditahan semasa penjajahan Belanda seperti Suharto dan Hatta.[7]

3.0 SEJARAH PENDUDUKAN JEPUN

Setelah melihat kebangkitan nasionalisme di Indonesia sebelum kehadiran Jepun, kini tiba pula fasa kedua iaitu meninjau sejarah pendudukan Jepun. Sejarah pendudukan Jepun telah mencatatkan bahawa Jepun telah berjaya menguasai Indonesia pada 9 Mac 1942 dengan menawan Batavia, apabila ketua turus tentera Berikat Leftenan Jeneral Ter Poorten menyerah kalah kepada panglima tentera Jepun, Immamura Hitoshi.[8] Peribumi di Indonesia menganggap kedatangan Jepun memberi rahmat kepada tanah air mereka namun sangkaan mereka meleset sama sekali kerana Jepun mempunyai matlamat yang tersendiri iaitu bukan sahaja menghapuskan pengaruh Barat dalam kalangan peribumi Indonesia malah mengeksploitasi peribumi dan sumber di Indonesia. Sambutan hebat dari penduduk tempatan terhadap kedatangan Jepun di Indonesia disebabkan oleh perasaan kebencian mereka yang meluap-luap terhadap regim Belanda.[9] Sutan (Soetan) Sjahrir iaitu seorang ahli politik Indonesia menyatakan bahawa kedatangan Jepun di Indonesia merupakan zaman yang malang bagi bangsa Indonesia dan kedatangan Jepun pada mulanya adalah sebagai ‘para pembebas’ bukannya sebagai ‘para pemimpin’.[10] Selain itu, konsep ‘Lingkungan Sekemakmuran’ Jepun yang menjanjikan keuntungan dari segi ekonomi kepada negara yang menyertai telah menyebabkan rakyat Indonesia mengagumi Jepun.[11] Namun langit tidak selalunya cerah, kerana dakwaan mereka meleset sama sekali dan akibat daripada tekanan hidup kesan daripada dasar-dasar Jepun telah menyebabkan semangat nasionalisme terus meningkat dari semasa ke semasa walaupun tempoh pendudukan Jepun hanya lebih kurang tiga tahun setengah.

4.0 KESAN PENDUDUKAN JEPUN DI INDONESIA

4.1 PERKEMBANGAN NASIONALIS

Pendudukan jepun di Indonesia secara tidak langsung telah memberi kesan ke atas peningkatan semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk tempatan sehingga telah mempercepatkan proses tuntutan kemerdekaan di Indonesia. Kekalahan Belanda ke atas Jepun adalah sesuatu perkara yang mengaibkan kerana sebelum ini mereka menganggap kuasa Barat lebih berkuasa daripada kuasa lain sekali gus melenyapkan ‘mitos superioriti’ yang menganggap kuasa Barat sukar untuk dihapuskan. Selain itu, kekalahan Belanda terhadap Jepun sememangnya perkara yang memalukan apabila Belanda gagal menunjukkan sikapnya yang bersungguh-sungguh semasa menentang Jepun.[12] Selain itu, cara mereka diusir dan ditawan merupakan satu penghinaan terhadap kuasa Belanda yang selama ini diagung-agungkan.[13] Kemenangan Jepun telah membuka lembaran baru serta mengubah persepsi masyarakat tempatan bahawa orang Asia yang dianggap lemah juga mampu mengalahkan kuasa Barat yang dahulu dikatakan satu kuasa yang agung dalam dunia penjajahan. Kekalahan Jepun ini secara tidak langsung telah menyebabkan rakyat Indonesia hilang keyakinan terhadap kebolehan Belanda kerana Belanda telah gagal melindungi Indonesia daripada pendudukan Jepun.

Tindakan Jepun yang pertama setelah berjaya menguasai Indonesia adalah dengan membebaskan tokoh-tokoh politik seperti Suharto, Hatta, Shahrir, Amir Syarifuddin, dan lain-lain yang telah ditangkap semasa pendudukan Belanda.[14] Pembebasan ahli politik ini telah memberi satu suntikan semangat nasionalisme kepada rakyat tempatan. Oleh itu satu strategi baru telah dirangka untuk meneruskan perjuangan ke arah kemerdekaan. Perjuangan ini diteruskan melalui gerakan bawah tanah seperti Shahrir dan Amir Syarifuddin.[15] Sebenarnya tindakan Jepun membebaskan tokoh-tokoh politik ini bertujuan untuk meraih sokongan rakyat Indonesia serta mengukuhkan kedudukan mereka di Indonesia. Namun, ahli politik ini telah memanfaatkan segala peluang yang ada untuk meneruskan perjuangan mereka menuntut kemerdekaan daripada cengkaman kuasa asing.

4.2 POLITIK

Pendudukan Jepun juga telah membawa perubahan dari segi politk apabila rakyat Indonesia telah diberi peluang untuk berkhidmat dalam bidang pentadbiran.[16] Hal ini adalah kesan langsung daripada kekalahan Belanda yang telah membuka banyak ruang kosong dalam bidang pentadbiran. Oleh kerana kekurangan pegawai pentadbir, maka rakyat Indonesia telah diberi peluang untuk memegang jawatan dalam bidang pentadbiran dengan syarat mereka yang memohon mestilah mempunyai kelayakan akademik yang bersesuaian dengan jawatan yang dipohon. Tindakan Jepun ini telah memberi peluang kepada rakyat Indonesia untuk mentadbir negeri mereka sendiri. Keadaan ini jauh berbeza jika dibandingkan antara zaman penjajahan Belanda dengan zaman pendudukan Jepun. Ini kerana, semasa penjajahan Belanda mereka tidak diberi peluang untuk berkerja dibahagian pentadbiran kerana segala urusan pentadbiran diuruskan oleh orang Belanda.[17] Peluanga yang diberikan telah menyebabkan peribumi Indonesia berasa yakin serta sedar dengan kemampuan mereka untuk menguruskan pentadbiran negeri. Oleh itu, peluang ini telah dimanfaatkan oleh segelintir rakyat Indonesia yang berjaya menyandang jawatan dalam pengurusan pentadbiran untuk menyebarkan semangat nasionalisme.[18] Tindakan Jepun dengan membiarkan masyarakat tempatan menguruskan hal pentadbiran telah ‘memakan diri’ apabila peluang yang diberikan telah menyebabkan semangat nasionalisme semakin meluap-luap kerana mereka telah didedah dengan sistem pentadbiran dan politik.

Selain itu, kesan pendudukan Jepun dari segi politik dapat dilihat apabila penindasan demi penindasan yang dilakukan oleh tuan-tuan tanah terhadap petani telah menyebabkan rakyat tempatan rasa tertekan. Situasi ini telah menyebabkan pihak Komunis mengambil peluang untuk meluaskan pengaruhnya kepada golongan petani. Kesibukan elit politik Indonesia serta pihak Jepun yang sedang berada dalam keadaan lemah ketika Perang Dunia Kedua menyebabkan kedua-dua pihak terlepas pandang terhadap penyebaran anasir komunis dalam kalangan masyarakat Indonesia terutamanya golongan petani.[19]

Kesan politik yang paling ketara ialah semasa pendudukan Jepun pelbagai pertubuhan telah wujud sehingga memberi sumbangan terhadap perkembangan nasionalisme di Indonesia seperti penubuhan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), Sukarela Pembela Tanah Air (PETA), Pertubuhan Belia dan Pelajar dan Masjumi. PUTERA merupakan pertubuhan yang telah ditubuhkan oleh Jepun berdasarkan pergabungan nasionalis Indonesia yang tujuan untuk mengawal nasionalis supaya tidak menjalankan kegiatan anti-Jepun.[20] PUTERA ini telah dipimpin oleh Sukarno sebagai presiden dan dibantu oleh Hatta.[21] Jepun berharap dengan penubuhan PUTERA ia akan memberi pulangan yang menguntungkan terhadap penguasaan Jepun di Indonesia. Namun tanggapan ini meleset sama sekali apabila PUTERA telah menambahkan kesedaran politik dan mengukuhkan keazaman rakyat Indonesia untuk mencapai kemerdekaan tanpa disedari oleh Jepun. Selain itu, penubuhan PETA juga telah menyebabkan gerakan nasionalisme terus rancak dijalankan untuk menuntut sebuah negara yang berdaulat. PETA ini telah dipimpin oleh pegawai-pegawai Indonesia yang telah menerima latihan tentera daripada pihak Jepun.[22] Seperti biasa, matlamat Jepun untuk memberi latihan ketenteraan ini untuk kepentingan mereka sendiri iaitu Jepun ingin menggunakan anggota PETA untuk menentang kemaraan tentera Berikat.[23] Ini kerana Jepun menyedari kekuatannya tidak mencukupi untuk mempertahankan Indonesia. Menjelang Jun 1945, seramai 120 ribu anggota PETA telah menjadi tulang belakang Tentera Revolusi Indonesia yang telah menentang pemerintahan semula Belanda selepas kekalahan Jepun pada 15 Ogos 1945.[24] Penglibatan rakyat Indonesia dalam PETA telah menanam perasaan bencikan penjajah terutama Belanda dan tidak terkecuali Jepun. Pemuda dan pemudi merupakan tiang sebuah negara. Menyedari kepentingan belia ini maka Jepun telah menubuhkan Pertubuhan Belia dan Pelajar untuk mengelak berlakunya kegiatan anti-Jepun. Antara Pertubuhan Belia dan Pelajar yang wujud pada ketika itu ialah Seinendan, Gakutotai, Barisan Pelopor dan Angkatan Muda.[25] Pada September 1944, Jepun telah menubuhkan Asrama Indonesia di Jakarta dan Surabaya.[26] Kesan daripada penubuhan asrama ini, tokoh-tokoh politik seperti Suharto dan Hatta dijemput hadir untuk memberi ceramah kepada pelajar di asrama tersebut dan juga kepada ahli-ahli pertubuhan Belia dan Pelajar.[27] Para nasionalis tidak melepaskan peluang ini untuk meniupkan api semangat kemerdekaan dalam jiwa belia dan pelajar supaya mereka dapat bersatu untuk merealisasikan impian mereka untuk memerintah negara sendiri.

4.3 EKONOMI

Selain itu, pendudukan Jepun di Indonesia juga telah memberi kesan terhadap sistem ekonomi di Indonesia. Sejak zaman penjajahan Belanda lagi, Indonesia telah mengalami masalah kemerosotan ekonomi berdasarkan eksport bahan-bahan mentah ke negara mereka untuk keperluan industri.[28] Oleh itu, masalah ini berlanjutan semasa pendudukan Jepun sehingga menyebabkan eksport barangan tidak dapat diteruskan. Selain itu, masalah pengeksportan berlaku kerana Jepun mengharamkan eksport kecuali ke negeri Jepun.[29] Penghasilan sumber daripada pertanian juga semakin merosot semasa pendudukan Jepun. Pokok-pokok getah telah ditebang untuk menanam ubi kayu untuk makanan asas penduduk tempatan. Kemerosotan jelas dapat dilihat apabila pengeluaran getah pada tahun 1943 hanya 1/3 daripada hasil getah pada tahun 1941.[30] Kemerosotan pengeluaran getah ini secara tidak langsung telah mengurangkan Keluaran Negara Kasar (KNK) ketika itu.
Dari segi kewangan pula, Indonesia mengalami masalah inflasi yang teruk sehingga wang kertas tiada nilai lagi. Peredaran wang kertas yang tidak terkawal dan kekurangan barangan penguna telah mengakibatkan berlakunya inflasi.[31] Pada tahun 1945, nilai mata wang Jepun hanya 2.5% dari nilai mukanya.[32] Hal ini memberi kesan yang besar terhadap perkembangan ekonomi di Indonesia. Akibatnya, rakyat Indonesia berasa tertekan dengan situasi ekonomi begini dan hal ini menyebabkan timbulnya perasaan anti-Jepun.

Masalah kebuluran dan wabak penyakit juga telah berlaku akibat daripada dasar Jepun yang lebih mengutamakan kepentingan ekonomi sendiri hingga mengabaikan keperluan rakyat. Jepun telah merampas hasil pengeluaran padi yang diusahakan oleh petani tempatan. Jepun juga telah memaksa petani menjual hasil padi dengan harga yang rendah daripada harga pasaran. Semasa pendudukan Belanda di Indonesia harga padi lebih tinggi berbandingan dengan harga yang ditetap pada zaman pendudukan Jepun. Pada tahun 1940 hingga 1941 harga Padi Tjere adalah f 3,25 untuk 100 kilogram manakala harga Padi Bulu f 3,60 untuk 100 kilogram juga semasa Indonesia masih lagi dibawah penguasaan Belanda.[33] Hal ini jauh berbeza dengan harga yang telah ditetapkan semasa pendudukan Jepun kerana harga padi turun sebanyak 50 peratus sedangkan harga beras semakin lama semakin meningkat. Hasil padi yang dirampas diserahkan kepada pihak Jepun manakala rakyat diperkenalkan dengan makanan ruji yang baru untuk menggantikan nasi yang dikenali sebagai bubur rakyat atau bubur asia raya. ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’ begitulah yang dapat digambarkan dalam situasi ketika itu. Ini kerana, rakyat Indonesia menganggap kedatangan Jepun merupakan satu perkara yang menguntungkan tetapi merupakan satu malapetaka yang mereka tidak duga sama sekali.

Selain itu, semasa pendudukan Jepun rakyat Indonesia telah dipaksa menjadi buruh paksa. Sekurang-kurangnya 200 ribu orang buruh paksa dihantar ke sempadan Siam-Myanmar dan New Guinea.[34] Kekurangan makanan ini telah menyebabkan ramai buruh paksa meninggal dunia. Ibarat ‘keluar mulut harimau masuk mulut buaya’ begitulah yang dapat digambarkan nasib rakyat Indonesia ketika itu yang dikatakan begitu senang dengan kehadiran Jepun pada mulanya. Kedatangan Jepun nampaknya merupakan sejarah yang perit yang terpaksa dilalui oleh rakyat Indonesia terutamanya kezaliman yang telah dilakukan oleh polis rahsia Jepun Kempetai, Tekkikan dan Toko.[35] Resam hidup manusia yang inginkan kebebasan telah menguatkan semangat rakyat Indonesia untuk bangun memperjuangkan kemerdekaan tanah air yang mereka cintai.

Selain itu, semasa pendudukan Jepun sistem Romusha telah diperkenalkan. Sistem ini ada sistem yang digunakan oleh pihak Jepun untuk memperoleh sumber tenaga untuk ketenteraan. Oleh kerana sumber tenaga yang kurang Jepun telah menggalakkan sumber tenaga untuk sistem pertanian diambil alih oleh haiwan seperti kerbau untuk memajak padi.[36] Hal ini bertujuan untuk mengurangkan penggunaan sumber tenaga manusia dan lebihan manusia yang tidak digunakan oleh menyertai Romusha. Peranan ini bukan sahaja dimainkan oleh lelaki, malah perempuan yang berusia 16 hingga 25 tahun diwajibkan menyertai Romusha.[37] Rakyat Indonesia yang menyertai Romusha terpaksa melalui zaman keperitan dan kekejaman yang boleh dilihat di dalam bahagian lampiran 1 dan 2.

4.4 SOSIAL

Perkara yang paling asas untuk membentuk semua negara yang merdeka adalah perpaduan. Oleh itu, untuk memperolehi kemerdekaan sesebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik masyarakat perlu berkerjasama seperti ‘aur dengan tebing’ yang saling memerlukan antara satu sama yang lain. Tindakan Jepun untuk menghapuskan pengaruh Barat dengan mengharamkan penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Belanda telah mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat seluruh Indonesia.[38] Ini kerana Jepun telah menggalakkan penggunaan Bahasa Jepun, namun para nasionalis Indonesia telah menentang pemaksaan penggunaan Bahasa Jepun sebagai bahasa yang digunakan dalam pentadbiran dan pendidikan.[39] Oleh itu, penggunaan Bahasa Indonesia dipertingkatkan. ‘Bahasa jiwa bangsa’, yang menjadi asas perpaduan sesebuah negara. Penggunaan Bahasa Indonesia ini telah menyebabkan seluruh rakyat Indonesia bersatu dan merasa tiada perbezaan keturunan antara mereka sehingga mengerat hubungan sesama mereka. Rakyat Indonesia bersama-sama meneruskan perjuangan mereka dengan satu tujuan iaitu kemerdekaan. Jepun juga membenarkan kibaran bendera merah-putih sebagai bendera kebangsaan dan nyanyian lagu Indonesia Raya diperdendangkan sebagai lagu kebangsaan telah mengukuhkan lagi semangat nasionalisme rakyat tempatan.[40]

5.0 KESIMPULAN

Oleh itu, berdasarkan perbincangan yang di atas jelas menunjukkan bahawa kedatangan Jepun telah memberi kesan yang mendalam kepada Indonesia terutama sekali kesan terhadap perkembangan nasionalis. Namun, saya tidak menolak sama sekali bahawa terdapat kesan-kesan lain yang wujud akibat daripada pendudukan ini. Kesan-kesan yang jelas dapat kita perhatikan dalam sejarah pendudukan Jepun di Indonesia ialah dari segi politik, ekonomi dan juga sosial. Akibat daripada peluang dalam berpolitik, perubahan ekonomi dan juga sosial secara halusnya telah menyumbang kepada kebangkitan nasionalisme di Indonesia. Perkembangan semangat nasionalisme ini telah membawa satu perubahan yang besar kepada Indonesia apabila Jepun berjanji akan memberikan kemerdekaan kepada Indonesia. Namun, akibat daripada peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki telah menyebabkan Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945. Kekalahan Jepun telah memyebabkan para nasionalis bimbang kemerdekaan yang pernah dijanji tidak dikotakan. Akibatnya Sukarno telah diculik dan mendakwa beliau mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945, tetapi Belanda yang kembali menguasai Indonesia tidak mengikhtiraf kemerdekaan ini. Kesannya berlaku revolusi lima tahun sehingga Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu terpaksa masuk campur dan memaksa Belanda mengikhtiraf kemerdekaan Indonesia pada 27 Disember 1949.

[1] Abdul Rahman Haji Ismail, “Bangsa: Ke Arah Ketepatan Makna dalam Membicarakan Nasionalisme Melayu, dalam Abu Rahman Haji Ismail dll, Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia, Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, 2006, m.s. 1.
[2] Suharto, “Gerakan Rakyat Indonesia (Gerindo), 1937-1942: Wajah Baru Gerakan Nasionalis Indonesia”, dalam Abu Rahman Haji Ismail dll, Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia, Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, 2006, m.s. 229.

[3] D. G. E. Hall, Sejarah Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, m.s. 248
[4] Khoo Kay Hock, Indonesia: Perkembangan Nasionalisme, Kuala Lumpur: Logman, 1978, m.s. 32
[5] Khoo Kay Hock, Indonesia: Perkembangan Nasionalisme, m.s. 32
[6] Ibid.
[7] Ibid., m.s. 33
[8] M. C. Ricklefs, A History of Modern Indonesia, London: The Macmillan Press LTD, 1981, m.s. 187.
[9] t.p., 45 Tahun Sumpah Pemuda, Jakarta: Yayasan Gedung-gedung Bersejarah, 1974, m.s. 109.
[10] Ibid.
[11] Ibid.
[12] D. G. E. Hall, Sejarah Asia Tenggara, m.s. 248
[13] Ibid.
[14] Nazarudin Zainun, “Siapakah Penggerak Revolusi Indonesia”, dalam Abu Rahman Haji Ismail dll, Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia, Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, 2006, m.s. 223.
[15] Berhard Dahm, Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, m.s. 114.
[16] Margono, Ichtisar Sedjarah Pergerakan Nasional (1908-1995), Jakarta: Departmen Pertahanan Keamanan Pusat Sejarah ABRI, 1971, m.s. 188.
[17] Ibid.
[18] M. C. Ricklefs, A History of Modern Indonesia, m.s. 192.
[19] Ibid.
[20] M. C. Ricklefs, A History of Modern Indonesia, m.s. 194.
[21] Khoo Kay Hock, Indonesia: Perkembangan Nasionalisme, m.s. 35.
[22] Ibid.
[23] Ibid., m.s. 36.
[24] Ibid.
[25] M. C. Ricklefs, A History of Modern Indonesia, m.s. 198
[26] Khoo Kay Hock, Indonesia: Perkembangan Nasionalisme, m.s. 36.
[27] Ibid.
[28] Soejito Sosrodihardjo, Perubahan Masjarakat di Djawa: Suatu Analis, Jogjakarta: Karya,1968, m.s. 42.
[29] Ibid.
[30] Ibid.
[31] Selo Soemardjan, Indonesia: A Socio-economic Profile, New Delhi: Sterling Publishers, 1988, m.s. 144.
[32] Ibid.
[33] Soedjito Sosrodihardjo, Perubahan Struktur Masjarakat Djawa, m.s 42.
[34] Selo Soemardjan, Indonesia: A Socio-economic Profile, m.s. 142.
[35] Ibid.
[36] Abu Talib Ahmad, Pendudukan Jepun (1942-1945) dan Asia Tenggara, Pulau Pinang: Penerbitan Universiti Sains Malaysia, 2007, m.s.22.
[37] Soedjito Sosrodihardjo, Perubahan Struktur Masjarakat Djawa, m.s 45.
[38] Ibid.
[39] Ibid.
[40] M. C. Ricklefs, A History of Modern Indonesia, m.s. 190.